Rabu, 25 Januari 2012

Punca-punca Kemalangan Jalan Raya



Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.
Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya.
Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang lain.
Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
,
Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya.
Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya.
Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.
Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya.

Rabu, 7 Disember 2011

“Bersatu Teguh Bercerai Roboh” seterusnya menjadi amalan berguna untuk menentukan kejayaan sesebuah negara. Huraikan pandangan anda terhadap pernyataan di atas

Bersatu Teguh Bercerai Roboh” merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan oleh manusia sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini menggesa seluruh masyarakat bersatu dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah supaya mereka dapat hidup dalam suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita bercerai-cerai, berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan kehancuran.
Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, kita haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, dan adat resam. Untuk mencapai kemajuan nagara, masyarakat harus hidup dalam suasana aman dan damai.
Semangat bersatu padu boleh disemai dan dipupuk di kalangan jiran tetangga melalui semangat kejiranan, khususnya di kawasan bandar yang semangat kejiranannya dikatakan semakin luntur. Kita yang tinggal di kawasan bandar sering berjauhan dengan keluarga dan kaum kerabat. Jadi, jiranlah yang menjadi saudara mara kita yang terdekat. Melalui hubungan sedemikian, masalah-masalah sosial seperti kecurian dan rompakan dapat dikurangkan. “Jiran sepakat membawa berkat” juga dapat diperhatikan melalui suasana kemesraan, tolong-menolong, dan saling menjaga kebajikan sesama mereka.
Semangat gotong-royong, iaitu dengan melakukan kerja secara beramai-ramai juga akan mempererat hubungan sosial antara anggota masyarakat dan seterusnya dapat melahirkan perasaan kekitaan dan kesedaran kebangsaan. Selain itu, dengan adanya aktiviti bergotong-royong, masa, tenaga, dan perbelanjaan individu, masyarakat, dan negara dapat dijimatkan. Ini juga bermakna, sesuatu kerja berat akan menjadi ringan apabila dilakukan bersama, bak kata pepatah “ berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Dalam bidang pentadbiran, sama ada di sektor swasta atau di sektor kerajaan, semangat bersatu di kalangan pekerjanya juga harus dipupuk. Sekiranya semangat ini diabaikan, maka sesebuah organisasi itu tidak akan maju. Hal ini terjadi kerana tidak ada kerjasama antara semua pihak untuk memajukan organisasi tersebut. Jika hanya pihak tertentu sahaja yang bekerja bertungkus lumus, sedangkan pihak yang lain tidak memberi komitmen, maka kejayaan cemerlang tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, semangat seperti “aur dengan tebing” perlu dijadikan panduan demi meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.
Di peringkat nasional, memang tidak dinafikan lagi tentang kepentingan semangat bersatu itu. Misi dan visi yang dirancangkan oleh kerajaan untuk memajukan negara bukan setakat memerlukan kerjasama semua rakyat, malahan kerajaan dan rakyat harus bersatu dan berganding bahu untuk menjayakannya. Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat tidak akan menjadi realiti, sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada rakyat keseluruhannya. Jika segelintir sahaja yang menyahutnya, maka kempen-kempen dan program-program kerajaan seperti inflasi sifar, cintai alam sekitar, budaya membaca, dan lain-lain akan gagal.
Tambahan pula, negara sekarang sedang mengalami masalah ekonomi. Oleh sebab itu rakyat harus bersama-sama membantu memulihkan keadaan supaya tidak bertambah teruk. Rakyat dan kerajaan tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana masalah yang melanda negara dirasai bersama-sama.
Oleh yang demikian, dapatlah kita katakan bahawa pepatah “Bersatu teguh bercerai roboh” amat penting untuk dijadikan teras dalam mencapai kejayaan. Jika masyarakat berpecah-belah dan bercerai-berai, sudah pasti berbagai-bagai masalah negara akan timbul seperti kes jenayah, pengangguran, kemiskinan, rusuhan kaum, dan lain-lain. Sesungguhnya keadaan sosial yang tidak stabil akan membantut usaha kerajaan untuk memajukan negara. Oleh itu, marilah kita beramal dan berpegang teguh dengan peribahasa “Bersatu teguh bercerai roboh” demi kebahagiaan kita semua.